Binaan Plot : Songket Berbenang Emas

PERINGKAT PLOT
PERISTIWA
Permulaan
Dahlia, pelajar tingkatan enam atas sedang menjalani latihan bola jaring di padang bola jaring. Dia berlatih kerana ada perlawanan dengan pelajar-pelajar enam rendah. Semasa berhenti rehat, Dahlia teringat akan emaknya yang hilang ingatan. Azhari datang menemuinya di kantin sekolah dan memberitahu dia sudah tamat pengajiannya di universiti . Dia menyuarakan hasrat mahu merisik Dahlia. Pada petang itu, Azhari menghantar Dahlia pulang ke rumahnya di Kampung Parit Haji Rais.
Perkembangan
Dahlia amat sedih apabila melihat keadaan emaknya, Saleha yang berada di kebun getah pada waktu senja. Emaknya sudah tidak mengenalinya. Dahlia dan abahnya memujuk emaknya balik ke rumah dengan bantuan orang kampung. Nek Kiah menyalahkan Embong yang menyebabkan Saleha menjadi kurang siuman. Dengan bantuan Haji Sulaiman, Saleha dibawa ke Hospital Batu Pahat dan seterusnya dihantar ke Hospital Permai di Johor Bahru kerana keadaannya semakin serius. Dahlia terpaksa keluar dari asrama dan kerap ponteng sekolah kerana menguruskan adik-adiknya. Abah Dahlia pula dimasukkan ke wad kerana dipatuk ular.
Perumitan / Konflik

Seman telah datang ke rumah Nek Kiah dan memujuknya untuk menjual tanah yang menjadi kawasan tempat tinggal Dahlia sekeluarga. Nek Kiah mahu Dahlia dan keluarganya berpindah sekiranya tidak mampu membayar sebanyak RM15,000. Dahlia tertekan kerana keluarganya tidak mampu untuk menyediakan wang sebanyak itu.  
Aton menyalahkan Dahlia yang menyebabkan anaknya, Said mati lemas sedangkan Dahlia telah berusaha untuk menyelamatkan Said.
Nek Kiah memandang serong terhadap Dahlia atas kehadiran Azhari dan Najib ke rumah Dahlia. Begitu juga dengan Aton yang sering menyindir Dahlia.
Najib cuba untuk memikat hati Dahlia. Begitu juga dengan Azhari yang telah datang merisik Dahlia kerana bimbang Dahlia dipikat oleh orang lain.
Penduduk kampung sudah jarang mengamalkan sikap bantu-membantu dan prihatin terhadap orang lain. Selaku ketua kampung Haji Sulaiman menasihati orang-orang kampungnya agar bersatu dan prihatin kepada jiran tetangga. 
Klimaks / Kemuncak

Abu Bakar menjumpai kain merah yang sudah reput yang membungkus telur ayam yang mengandungi jarum peniti, cincin akik, butiran pasir dan paku. Dahlia menyuruh Abu bakar membuangnya ke sungai. Selepas itu, Saleha sudah sembuh dan dibenarkan pulang ke rumahnya.Nek Kiah pula sakit dan dirawat di hospital selama dua hari. Keluarga Dahlialah yang menjaganya. Setelah keluar dari wad, Nek Kiah tinggal dengan keluarga Dahlia sehingga benar-benar pulih.Nek Kiah mula berubah dan berbaik semula dengan keluarga Dahlia.
Banjir yang berlaku di Kampung Parit Haji Rais telah membawa hikmah apabila penduduk kampung bersatu dan bergotong-royong membina rumah Embong yang roboh dilanda banjir setelah dinasihati oleh Haji Sulaiman.
Peleraian / Pengakhiran

Dahlia tinggal di asrama semula kerana peperiksaan STPM semakin hampir. Keluarga Azhari menetapkan tarikh pertunangan Dahlia selepas peperiksaan STPM tamat. Kedatangan Cikgu Daim membawa berita gembira apabila Dahlia terpilih untuk mengikuti pengajian di Jepun selama empat tahun. Sebelum ke Jepun, Dahlia perlu mengikuti kursus bahasa Jepun di Universiti Malaya selama enam bulan. Majlis pertunangan Dahlia terlewat kerana jurucakap majlis lewat sampai. Azhari datang berjumpa Dahlia di stesen bas sebelum Dahlia bertolak ke Kuala Lumpur. Dia telah menghadiahkan songket berbenang emas berwarna merah kepada Dahlia. Azhari mahu Dahlia menjaga jati dirinya sebagai orang Melayu walaupun berada di mana-mana jua.  

Sumber : Cikgu Hasnah bt. Sahidan